Sumber: Pejabat Daerah Song 

 

Berdasarkan sejarah awal pekan Song, suku kaum yang pertama menjelajah tanah ini adalah suku kaum Kayan. Kumpulan tersebut sebenarnya telah berhijrah dari satu tempat ke satu tempat  yang lain kerana mengamalkan pertanian nomad sehinggalah kaum tersebut telah mengamalkan cara pertanian kekal. Kaum tersebut lebih mementingkan aktiviti-aktiviti pertanian dan kebudayaan dari peperangan.

Dalam masa sama, kaum Iban pada masa itu mula berhijrah dari sempadan Indonesia menerusi Sungai Kapuas dan beberapa batang sungai yang lain. Mengikut sejarah awal negeri Sarawak, kaum tersebut telah menyusuri beberapa batang sungai penting seperti sungai Katibas, Bankit, Rejang dan Skrang dan seterusnya menetap di bumi Sarawak. Tujuan penghijrahan tersebut adalah untuk mencari tempat bercucuk tanam yang baru serta memburu binatang bagi menyara kehidupan seharian mereka. Menurut sejarah awal, kaum tersebut telah dipimpin oleh beberapa pahlawan yang gagah bagi melindungi puak tersebut daripada ancaman musuh. Setelah berkayuh begitu lama menyusuri sungai Bangkit dan Katibas, kaum tersebut mula menetap ditepi sungai Katibas sehingga terdapat beberapa kumpulan yang lain berhijrah ke Kuala sungai Katibas. 

Oleh kerana terdapat beberapa persengketaan berlaku antara kedua-dua suku kaum tersebut, maka berlakulah peperangan antara mereka. Persengketaan tersebut telah memakan masa yang begitu lama. Oleh itu, siapa kuat maka dialah kudrat dan akhirnya terpaksalah kaum Kayan mengalah dan seterusnya berundur mengikut hulu sungai Rejang sehingga ke Daerah Belaga.                                                

Sebenarnya nama Daerah Song dikenali sebagai 'long' yang bermaksud anak sungai oleh kaum Kayan. Setelah ditewaskan oleh suku kaum Iban, maka barulah ditukar kepada Song sempena nama salah seorang pahlawan Iban yang mengetuai peperangan tersebut. Song merupakan salah seorang pahlawan yang telah menewaskan suku kaum Kayan.  Kumpulan di bawah pimpinan Song ini merupakan kaum yang pertama menjelajah bumi Song dan kemudiannya menetap di sini. Mengikut sejarah kaum Iban, asal usul kaum tersebut adalah dari Indonesia.                                            

Mengikut sumber sejarah yang lain, pada satu masa dahulu, terdapat seorang balu yang bernama Puan Song berasal dari Kampung Nangka Sibu telah menetap di muara Sungai Song dan menjalankan aktiviti pertanian. Beliau merupakan kaum Tanjung iaitu salah satu rumpun puak Melanau. Setelah sekian lama menetap di sini, maka ramailah rakan serta saudara mara yang ingin menziarah beliau. Setelah ditanya kemana hendak dituju, maka dijawabnya, 'hendak pergi ke rumah Song'. Nama tersebut telah menjadi kekal sehingga ke hari ini. Sejak 1800, kaum Cina dan Melayu telah mula bertapak di Daerah Song dengan mendirikan beberapa buah kedai pondok dan menjalankan aktiviti perniagaan. Di samping itu, terdapat juga beberapa buah pondok perniagaan yang didirikan terapung di atas sungai. Antara bahan-bahan yang diniagakan adalah keperluan harian sahaja. Pada mulanya, sistem perniagaan barter digunakan sebagai barang penghantaran dalam kalangan peniaga dan pembeli. Setelah penjajahan Rajah Brooke, barulah mata wang diperkenalkan.

Berdasarkan sumber sejarah yang lain, dikatakan  bahawa pada masa tersebut, orang Melayu yang pertama menjejak kaki ke tanah Song ini terdiri dari 3 orang iaitu En. Hj.Tahir, En. Hj Omar dan En. Hj Dollah. Mereka dikatakan datang ke sini dengan tujuan untuk berniaga. Pada tahun 1937, terdapat sebuah kampung Melayu yang pada masa itu terdapat sepuluh buah rumah Melayu sahaja. Sungguhpun belum ada lagi penghulu atau ketua kampung, tetapi mereka tetap hidup aman dan damai.                                         

Kaum Iban kebanyakannya berkerja sebagai penoreh getah dan juga petani. Mereka mengumpul hasil-hasil hutan dan bertani, seterusnya dijual kepada saudagar-saudagar di pekan Song untuk ditukar dengan barang keperluan harian. Mengikut sumber sejarah Daerah Song, pada masa itu hanya terdapat 20 buah kedai pondok sahaja. Kesemuanya didirikan daripada papan dan beratapkan nipah. Walaupun terpencil, namun perniagaan mereka sangat menguntungkan. Walau bagaimanapun, suasana mula menjadi tegang pada tahun 1944 apabila pihak tentera Jepun telah menakluki Tanah Melayu sehingga ke Daerah Song. Semasa pendudukan tentera Jepun pada tahun 1944, ramai orang Song telah melarikan diri ke Sengayan. Semasa dalam perjalanan ke destinasi tersebut, ramai antara pelarian sering mengalami pelbagai rintangan dan kesusahan dan kadang kala hampir menemui maut setelah dikecam oleh tentera kerajaan British bahawa mereka adalah pelarian dari Daerah Song. Mengikut sumber sejarah, pekan Song telah musnah terbakar atas serangan tentera Jepun dan bedilan meriam oleh Kerajaan British.                                           

Hanya bangunan sekolah, masjid dan Pejabat Kerajaan tidak terbakar dalam kejadian tembak-menembak. Semasa ketiadaan pemerintahan kerajaan, kejadian mencuri berleluasa selepas penaklukan tentera Jepun. Kebanyakan orang-orang Iban ramai yang terkorban setelah ditembak oleh orang Jepun. Tentera Jepun sangat ditakuti oleh masyarakat Cina. Oleh yang demikian, mereka bekerjasama untuk menjaga kepentingan hak mereka. Semasa pendudukan tentera Jepun, kebanyakan orang Cina di bahagian Sibu dan daerah kecil yang lain berasa takut dan melarikan diri ke daerah ini. Mereka sangat takut kepada tentera Jepun yang terkenal dengan hukuman dan seksaan yang kejam. Kebanyakan mereka di daerah ini merasa keperitan hidup semasa penjajahan orang Jepun. Semasa pendudukan Jepun, barang keperluaan harian terputus kerana kekurangan bahan eksport dari negara luar. Tentera Jepun dikatakan menggunakan kekerasan untuk mendapatkan segala keperluan asas dari orang ramai.                                         

Dari segi pendidikan, pihak tentera Jepun telah memperkenalkan Bahasa Jepun di semua sekolah. Semua kurikulum dan gerak kerja luar diselitkan dengan unsur-unsur kebudayaan orang-orang Jepun. Pada masa itu juga, saudagar-saudagar Cina mula menunjukan sentimen pendidikan mereka dengan menubuhkan sebuah sekolah pondok bagi mendidik anak-anak muda supaya berilmu pengetahuan. Oleh itu, telah ditubuhkan Lembaga Sekolah yang pertama dan terdiri daripada 4 orang ahli kesemuanya. Sehubungan itu, sekolah tadika yang pertama juga dibina hasil sumbangan saudagar Cina di Daerah Song. Hal ini telah menunjukkan keperihatinan masyarakat Cina terhadap pelajaran anak-anak kecil di daerah ini, termasuklah saudagar-saudagar Cina serta kaum-kaum yang lain. En. Ling Cai To merupakan pengerusi yang pertama.                                       

Pada tahun 1945, kapal terbang pengembom tentera British kelihatan berlegar-legar di ruang angkasa Daerah Song untuk mengadakan serangan hendap terhadap tentera Jepun. Dalam pada itu, kaum Iban telah bersiap sedia dengan alat kelengkapan peperangan mereka untuk menyerang tentera Jepun dengan bantuan orang-orang tempatan.Mengikut saksi-saksi peperangan pada masa itu, pihak tentera British telah mengadakan serangan udara secara besar-besaran sehingga kebanyakan harta benda awam musnah akibat letupan bom. Kesemua kedai-kedai yang ada pada masa itu sama sekali telah dijilat api. Oleh yang demikian, penduduk telah berhijrah ke pekan baru setelah harta benda mereka dimusnahkan dan kebanyakan mereka hanya tinggal sehelai sepinggang sahaja. Perasaan takut orang-orang tempatan terutamanya kaum Cina pada masa itu mula menjadi resah setelah dibunuh orang Iban. Purata kematian setelah strategi tersebut  dijalankan, dianggarkan sebanyak 18 orang Cina dan 20 orang Jepun telah terkorban. Oleh yang demikan, dengan rasminya pada tahun 1945, peristiwa penting iaitu Daerah Kecil Song telah dipindahkan dari pekan lama ke pekan yang baru. Kebanyakan bahan-bahan keperluan asas semasa kekalahan tentera Jepun adalah bergantung kepada saudagar-saudagar dari bahagian Sibu. Aktiviti-aktiviti perniagaan serta ekonomi mulai pulih seperti sediakala setelah Kerajaan Rajah Brooke menyerahkan negeri Sarawak kepada orang British. Terdapat banyak perubahan yang telah berlaku dalam daerah ini sejak daerah ini bertukar tampuk pimpinannya. Kerajaan British telah memperuntukkan sebanyak 172,800.00 atau 7,200.00 mata wang Rajah Brooke bagi setiap individu untuk menyediakan rumah-rumah kediaman dan kedai di daerah ini.Ketua perniagaan Cina yang pertama ialah Encik Chua Khun Ti. Beliau juga merupakan orang Cina yang pertama menjalankan aktiviti perniagaan, manakala En. Tai siong merupakan orang Cina bangsa Foochow yang pertama menjelajah pekan Song.                     

Song dan Pentadbirannya  Sebelum tahun 1963

Pekan Song awal terletak di Nanga Sungai Song (muara Song), wujud dari sebuah persinggahan pedagang-pedagang Melayu Abang (keturunan bangsawan Sarawak). Tokoh yang terkenal ialah Hj. Ahmed b. Hj. Omar dan kaum Melanau menukar hasil hutan seperti nyatok, damar dan rotan dalam sekitar tahun 1820-an dengan penduduk pribumi, kaum Iban yang menghuni kawasan di sepanjang Batang Rejang, Batang Katibas, Sungai Song, Sungai Iran dan Sungai Lajan.

Pedagang-pedagang tersebut membawa hasil bumi ini untuk dijual ke Sibau (Sibu), yang terdapat kapal seperti Ang Bee dari Singapura dan Kampar dari Tanah Semenanjung menunggu belabuh di Sibau (Sibu) untuk membawa barangan tersebut ke Singapura dan Tanah Semenanjung ketika itu. Begitu juga sebaliknya, saudagar-saudagar tersebut akan membawa barangan keperluan harian seperti garam, gula apong, ikan masin serta pinggan mangkuk, barangan tembikar, gong dan juga pakaian seperti kain dan baju ke Song untuk dijadikan bahan pertukaran dengan penduduk tempatan.

Senario peralihan dan kewujudan Revolusi Perindustrian di Eropah semakin menggalakkan terhadap permintaan bahan mentah, seterusnya membawa kesan kepada Sarawak dan juga Song yang telah bertukar wajah menjadi sebuah pekan kecil. Malah menjadi tumpuan pertukaran barang dan telah menarik penghijrahan kaum Cina dari Canton China dan Melayu membuat penempatan, dengan deretan 14 pintu kedai kayu beratap daun mulong. Sebuah penempatan kaum Melayu juga wujud di kampung Melayu Song. Hal ini telah mendorong Rajah Putih menubuhkan pusat pentadbirannya yang pertama di pekan kecil Song dengan pegawai yang pertamanya,  Abang Depong ( Kacukan Iban-Melanau).

Pusat pentadbiran pertama ini terletak di Nanga Sungai Song yang didirikan dalam sekitar tahun 1870-an bagi mententeramkan keadaan yang huru-hara di kawasan sekitar Batang Katibas ketika itu. Hal ini kerana berlakunya pemberontakan ke atas Rajah oleh Kaum Iban Batang Katibas yang membantah cukai pintu, dan berlarutan hingga  tahun 1900-an. Pada tahun 1873, Sibu diisytiharkan sebagai sebuah Bahagian iaitu Bahagian Ketiga dan Pentadbiran Daerah Kecil Song diletakkan di bawah Pentadbiran Residen Sibu, yang telah ditubuhkan oleh Rajah pada 01 Jun 1873 dan telah mempengaruhi sistem pentadbiran Sarawak hingga ke hari ini.   Pada 24 Disember 1941, Sarawak telah ditakluki oleh Jepun dan Pentadbiran Song telah dikuasai oleh pemerintahan Jepun selama 4 tahun. Pada September 1945, Sarawak telah bebas dari penaklukan Jepun, semasa usaha pembebasannya, pekan Song yang teletak di muara Sungai Song telah musnah terbakar oleh pengeboman daripada tentera British dan Australia ketika itu dan telah memusnahkan Pejabat Pentadbiran Song. Pegawai ketika itu, Abang Tunku Hj. Wan Mat telah memindahkan Pentadbiran Song ke Nanga Katibas (muara Katibas). Kolonial British telah mendirikan Kubu Song di Nanga Katibas, pada tahun 1947, kubu tersebut telah siap dibina dan pada tahun 1948. Pejabat Pentadbiran Song telah dipindahkan ke Kubu Song Nanga Katibas pada tahun itu. 

Bekas Bangunan Pentadbiran Pejabat Daerah Kecil Song 1947-1973

Pada 01 Januari 1955, Sistem Perabangan telah digantikan secara rasmi dengan tertubuhnya Sarawak Native Affairs Department berikutan penyerahan Sarawak di bawah pentadbiran kolonial Inggeris oleh Charles Vyner Brooke pada 01Julai 1946. Pentadbiran Daerah Kecil Song mendapat Native Officer pertama iaitu N.O. Michael Sardin pada tahun 1947, N.O. Edward Langgi tahun 1950, N.O. Vincent Soyong tahun 1958 dan N.O. Michael Pilo tahun 1960.

 

Daerah Kecil Song Selepas tahun 1963  

Pada ketika Sarawak berusaha untuk mencapai kemerdekaan pada tahun 1963, Pejabat Daerah Kecil Song telah menjadi bilik operasi penting dalam era konfrontasi dan menangani pencerobohan pemberontakan askar Indonesia dari Kalimantan Utara yang menyusup masuk Sempadan, dan turun dari Bukit Mubau ke Sungai Ayat, Bangkit, Katibas. Setelah tamat konfrontasi Indonesia-Malaysia, Sarawak telah merdeka pada 16 September 1963 bersama Sabah, Singapura dan Semananjung Tanah Melayu, seterusnya membentuk Malaysia, dan pada tahun 1964 Sarawak Administrative Officer pertama Pentadbiran Daerah Song,  SAO William Linang.  Kemudian, SAO Neilly Tanggai  pada tahun 1969.

Song  telah mejadi sebuah daerah bersama dengan pengisytiharan Kapit sebagai sebuah bahagian pentadbiran dalam negeri Sarawak pada 2 April 1973. Pegawai Daerah Song yang pertama ialah James Jimbun Pungga. Pada 9 Julai 1977, pentadbiran Daerah Song berpindah dari Kubu Lama Song ke bangunan Pentadbiran Negeri Song yang terletak di Bukit Song, iaitu ditengah Pekan Song.

 

                  Pekan Song Dahulu                                                     Pekan Song Sekarang

   

Struktur pentadbiran Daerah Song sebagai sebuah daerah didahului oleh Pejabat Daerah Song sebagai jabatan utama peringkat daerah . Di samping itu, pejabat daerah tersebut juga bertanggungjawab ke atas Pejabat Residen Bahagian Kapit dan memainkan peranan penting sebagai jabatan utama peringkat daerah dalam penyelarasan dan pemantauan projek-projek pembangunan di Daerah Song. Ia juga berperanan membina semangat kerjasama yang erat antara semua jabatan dan agensi kerajaan dan bukan kerajaan supaya segala dasar kerajaan, kerja dan aktiviti di peringkat daerah dapat dijalankan dengan lancar.   Pekan Song hari ini telah berkembang pesat dan masih mengekalkan fungsinya sebagai pekan persinggahan. Pembangunan Daerah Song telah menyebabkan fungsi pejabat bertambah, bukan sahaja sebagai Pusat Pentadbiran tetapi juga sebagai penjana pembangunan Daerah Song dengan  menjadi pemantau dan pelaksana projek kerajaan pada peringkat daerah.

 

SUMBER

1. Sistem Data Pejabat Residen Bahagian Kapit.

2. Sistem Data Pejabat Daerah Song.

3. Sistem Data Pejabat Penerangan Song.

4. Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Kapit.

5. Jabatan Perangkaan Negeri Sarawak.

6. http://ms.wikipedia.org/wiki/  (Sejarah Sarawak)

7. The Encyclopaedia Of Iban Studies ( Maklumat penempatan awal kaum pribumi di Sungai Katibas)

8. Sumber Lisan .

  • Penghulu Ajang Ak Siba. (Maklumat tentang sejarah Song dan Peristiwa Penceroboh Askar Indonesia di Rantau Panjai, Ayat, Bangkit, Song).
  • Penghulu Kasiri Bin Jali@Kasiri Bin Razali. (Maklumat tentang sejarah kewujudan Daerah  Song dan Pejabat Pentadbiaran Daerah  Song).
  • Penghulu Lim Su Khiaw. (Maklumat tentang sejarah kewujudan Daerah  Song dan Kedatangan Masyarakat Cina ke Daerah  Song).